T�tulo do Seu blog aqui

Monday, October 19, 2009

Utusan Malaysia Online - Timur

Terengganu perkenalkan I-Iqra' mudah baca al-Quran


SEBAHAGIAN daripada 4,622 murid tadika membaca ayat suci al-Quran pada Majlis Khatam al-Quran Kanak-Kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 17 Okt. - Negeri ini boleh berbangga apabila satu lagi teknologi baru, I-Iqraq diperkenalkan bagi memudahkan pembacaan al-Quran di kalangan masyarakat.

I-Iqra' merupakan buku elektronik yang dilengkapi 30 juzuk al-Quran di samping menggunakan teknologi skrin sesentuh selain berupaya mengeluarkan suara bagi memudahkan pengguna mendengar setiap bacaan dialunkan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, teknologi I-Iqra' telah berada di pasaran sejak tiga bulan yang lalu dan ia disambut baik oleh pengguna.

Katanya, melalui teknologi tersebut negeri ini menambah satu lagi usaha dalam menjadikan masyarakat di negeri tersebut celik al-Quran.

"Selepas kejayaan kita menyediakan kemudahan e-Book untuk pembelajaran di sekolah rendah, kini I-Iqra' diperkenal kepada masyarakat agar mereka mahir membaca al-Quran terutama kepada generasi muda.

"Justeru, saya berharap masyarakat dapat mengambil peluang memanfaatkan kemudahan yang telah diperkenalkan ini agar didikan awal al-Quran dapat diterapkan dalam jiwa mereka selain hal-hal duniawi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup Kompleks Sukan di Gong Badak di sini hari ini.

Seramai 4,622 pelajar tadika di seluruh negeri menyertai program tersebut yang menggabungkan pelajar tadika empat jabatan iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran negeri serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Sementara itu, Pengarah YIT, Mohd. Zulkifli Abu Bakar berkata, I-Iqra' merupakan projek bersama dengan 4-Tech Global dan setakat ini pihaknya mengeluarkan 342 unit I-Iqra' untuk digunakan di 17 tadika di bawah yayasan itu.

Menurutnya, ibu bapa yang berminat mendapatkan kemudahan I-Iqra' boleh mendapatkannya di YIT dengan harga RM1,988 seunit.

"I-Iqra' sebuah buku elektronik yang praktikal dan mudah di bawa ke mana-mana saja selain memberi kemudahan kepada pengguna belajar membaca al-Quran dengan betul," jelasnya.

No comments: